Oleh: MSK
Tahun ni…genap 50 kali aku menyambut Raya Idilfitri. Bila ramai yang berjumpa dan mengucapkan “Selamat Hari Raya, Pak Cik..” baru terasa yang diri dah tua. Tu pasai aku lebih suka jumpa orang tua….baru terasa diri masih muda.
Sejak bapak aku meninggal dunia tahun 1999, setiap tahun aku balik beraya di Pulau Pinang…rumah mertua. Dan dalam jangka masa usia 50 tahun, terlalu banyak yang berubah.
Masa kecik-kecik dulu, bulan puasa merupakan bulan yang ditunggu-tunggu. Dua tiga hari sebelum bulan Ramadan tiba, kami dah bersiap sedia dengan bisnis bulan Ramadan. Tempahan mula diambil dari rumah kerumah…sapa nak beli ais. Dah dapat jumlah pesanan, pergi pulak ke pekan Tapah jumpa towkey ais, buat tempahan. Siap beli serbuk kayu, cari tong kayu di pasar Tapah untuk mengangkut ais.
Setiap petang, kayuh basikal sejauh lapan kilometer…pergi balik 16 kilometer. Untuk mencari untung sebanyak seringgit. Kadang-kadang hujan, ais tak laku. Cukup sebulan raya…tolak-sana tolak sini, boleh dapat dua puluh ringgit. Dah besar!!!
Harga ais cuma sekupang seketul…tu pun ada yang berhutang. Ada yang hutang tak bayar…tu yang memang jenis kaki kedekut. Tapi bila tiba musim buah, giliran kami pulak sapu durian depa. Bila tiba Raya..minta ampun, minta maaf. Minta halalkan yang ‘termakan, terminum, terambil..” Semua selesai.
Minggu pertama puasa dah mula sibuk. Cari buluh untuk buat meriam. Cari kabaid untuk buat peluru. Tak perlu beli mercun..tak payah keluar duit. Dan bila main meriam, ada guru yang mengajar. Buluh kena ikat dengan dawai. Kayu pencucuh kena tahu berapa panjang. Semuanya dipelajari dengan sistematik. Tak dengar pun budak-budak mati kena meriam buluh. Tak dengar pun budak-budak putus jari kerana mercun.
Minggu kedua dan ketiga,dah ada program waktu malam. Main police-sentry, main kombat. Orang tua pergi terawih, budak-budak bermain.
Minggu keempat, adalah minggu yang paling seronok. Tunggu malam tujuh likur, tunggu Lailatul Qadar, pasang panjut buluh atau bakar tempurung.
Semua tu dah tak ada sekarang. sapa yang buat, akan dianggap tak hormat bulan Ramadan. Tak reti ugama. Sekarang, bulan Ramadan disuruh beribadat. Disuruh mengaji banyak-banyak.
Tetapi lagi kuat disuruh beribadat…ingat pada Tuhan, macam-macam pulak jadinya.
Seminggu sebelum puasa, orang tua berebut tempat bazar Ramadan. Ada yang ambil kesempatan cari untung dengan mengadakan bazar Ramadan. Ada yang sampai berdemo bila tak dapat ruang niaga bazar Ramadan. Anak-anak duduk rumah main komputer…main handphone. Mak bapak berebut cari duit, anak-anak duduk rumah menghabiskan duit.
Minggu pertama, mak bapak dok sibuk berniaga. Yang tak berniaga, sibuk berbelanja. Nak berbuka puasa sekarang, satu keluarga tiga anak memerlukan sekurang-kurangnya sepuluh ringgit, hanya untuk berbuka puasa. Tengok saja dibazar Ramadan, jutaan ringgit dibelanjakan diseluruh negara sehari. Puasa untuk menahan lapar dan dahaga, tapi sekarang…bulan Ramadan adalah bulan untuk menjamu selera.
Minggu pertama, masjid selalu penuh dengan jemaah berterawih. Kalau hari biasa, sembahyang Maghrib dan Isya cuma ada dua saf, tapi bulan puasa…sampai 5-6 saf. Yang wajib..tak penting. Yang sunat diutamakan. Dan waktu berbuka dan solat terawih sekarang sudah jadi bahan politik. Kalau dulu masjid dipenuhi dengan jemaah tabligh, sekarang ada rombongan orang politik.
Kat masjid ditempat aku…bila orang Pas jadi Imam, orang Umno lari masjid lain. Bila orang Umno jadi Imam, orang Pas lari sembahyang kat markas. Tak tau la…bila orang Islam boleh matang dalam politik. Orang tua sibuk berpolitik, anak-anak lepak kat bus-stop…ataupun duduk rumah main komputer.
Minggu kedua dah mula tempah baju. Ada yang menghabiskan masa di Tesco, Giant, Parkson.
Minggu ketiga dah sibuk buat kuih. Tukar langsir. Tukar kusyen.
Minggu keempat sibuk shopping.
Bila tiba Raya…sibuk buat rumah terbuka.
Budak-budak buat apa? Tak dak buat apa-apa.
Nak jual ais…tak ada sapa yang perlukan. Nak cari buluh buat meriam…dah diharamkan. Nak cari buluh atau tempurung buat panjut, sudah dianggap syirik. Nak main malam-malam, kena marah orang tua.
Kesian budak-budak sekarang. Yang dimahukan orang-orang tua….belajar. Hafal sapa pejuang kemerdekaan. Hafal simpulan bahasa. Hafal karangan yang mungkin keluar dalam periksa. Pagi pergi sekolah, petang pergi sekolah ugama rakyat, malam pergi tuisyen.
Sejak dua puluh tahun lalu, setiap kali Raya…aku balik kampung rumah isteri aku. Tapi sekarang kampung dah tak ada…dikeliling penuh dengan kondo, hotel dan apartment.
Tak ada bunyi meriam buluh. Tak ada lampu panjut. Serba serbinya metropolis.
Hari ini, lepas sembahyang Raya, aku duduk dirumah. Yang datang hanya budak-budak. Bagi salam, ucap Selamat Hari Raya…minta duit Raya. Ajak minum tak mau, ajak makan tak mau….nak duit Raya saja. Dapat duit terus belah….tak dapat duit, depa kata kita kedekut!!!
Aku tak pernah bagi duit raya kat sapa-sapa pun. Kalau nak duit raya…cari sendiri. Dari kecik aku diajar jangan meminta tapi cari sendiri. Sekarang…anak-anak diajar meminta ..bukan diajar mencari sendiri.
Dan Hari Raya semakin lama semakin sunyi. Tak ada kawan nak lepak kedai kopi. Cuma sibuk melayan SMS pengganti diri.
Yang semakin meriah ialah Pilihanraya.
waa copy dari perak express
0 ulasan:
Catat Ulasan